Monday, March 12, 2012

I AM NUMBER ONE!!

Mungkin saja kita melihat suatu kejayaan itu di ukur apabila kita mendapat yang terbaik iaitu menjadi No. 1 dalam semua perkara yang kita ceburi. Tanpa kita sedari sebenarnya kita telah di racuni dengan pemikiran sebegini sejak kita kecil lagi. Bila kita masuk ke sekolah , mak , ayah, dan keluarga bertanyakan kelas keberapa kita masuk? Nombor berapa kedudukan kita di dalam kelas?. Begitu juga rakan-rakan akan mentertawakan rakan-rakan yang lain yang tidak mendapat kedudukan yang baik di kelas mereka. Guru juga lebih senang menumpukan anak-anak yang pintar ini di dalam sesi pengajaran mereka. Mereka akan berebut-rebut untuk menjadi guru kelas bagi anak anak-anak pintar ini.

Tapi, pernahkah kita bertanya, adakah ukuran ini sebenarnya yang menjadi ukuran kejayaan seseorang itu dalam hidupnya? Apakah dengan menjadi nombor pertama di dalam kelas menunjukkan kita benar-benar faham akan apa yang di ajar dan dapat mengaplikasiakannya dalam kehidupan seharian kita? Apakah dengan memasuki institusi terkemuka di dunia bermakna kita adalah yang terhebat? Adakah dengan bekerja di sebuah syarikat terulung menunjukkan kita itu adalah orang yang sangat berjaya?

Penilaian seperti ini adalah virus yang semakin merebak di medulla oblongata manusia hari ini. Cuba kita lihat, sebagai seorang muslim kita mungkin pernah belajar sirah nabi di dalam sukatan pelajaran agama Islam di sekolah. Di situ kita faham bahawa nabi yang kita cintai Muhammad s.a.w adalah nabi yang terakhir diutuskan di muka bumi. Disini mungkin kita boleh bertanya, mengapa Tuhan tidak mengutuskan dia sebagai nabi yang pertama jika dia memang yang terhebat?. Baginda seorang yang buta huruf, namun mampu menyebarkan agama Islam kepada orang-orang yang lebih bijak darinya sehinggakan mereka benar-banar percaya ajaran yang di sampaikan Baginda dan sebagai buktinya Islam semakin berkembang dan di anuti oleh berbilion orang sehingga kini walaupun Baginda telah lama meninggalkan kita. Di sini, dapat dinyatakan menjadi yang pertama bukanlah perkara pokok yang perlu ditekankan, tapi adalah sudut kefahaman, pemikiran, pengolahan, pengaplikasian, mampu menyampaikan dan mendorong orang lain untuk mengikutinya.

Kita tidak di ajar untuk melihat apakah sumbangan kita kepada orang-orang di sekeliling kita. Kita sering di tekankan untuk hanya menjadi yang terbaik dan terus berusaha menjadi yang terbaik. Fokus di sini adalah hanya menjadikan DIRI kita yang terbaik. Bukankah ini juga bererti bahawa kita adalah orang yang sangat mementingkan DIRI. Bila di tanya mungkin kita tidak mahu untuk mengakuinya namun ini adalah realiti. Cuba kita lihat, bila kita melihat foto-foto kita bersama rakan-rakan, kita akan mencari wajah kita dahulu dan member komen kemudiannya kita melihat wajah rakan kita yang lain. Bukankah ini mementingkan DIRI namanya?

Mungkin kita bergembira sakan apabila melihat anak-anak kita masuk di kaca televisyen sebaik sahaja keputusan UPSR, PMR, SPM, STPM, Universiti di umumkan denagan menyatakan bahawa anak kita adalah yang terbaik, mendapat “straight As” atau mendapat “Anugerah Diraja”. Namun sepanjang hidupnya dia hanya meorientasikan kejayaan DIRI sebagai pengukur kajayaan masyarakat. Mahu menjadi orang yang terkaya di dunia. Menjadi pekerja no.1. Menjadi orang yang pertama memiliki gadjet terkini. Mejadi orang yang pertama memasuki LRT. Menjadi pemandu yang pertama sampai ke rumah. Menjadi yang pertama mendapat layanan.Menjadi pertama yang di sebut oleh majikan. Menjadi orang yang pertama dalam segalanya. Dan tabiat inilah yang akan di bawanya sepanjang hayatnya dan akan diturunkan kepada keturunannya. Persepsi ini tidak salah namun tabiat sebegini mungkin boleh melahirkan manusia yang kejam, tidak mampu melihat kesusah orang lain dan semakin tamak untuk menjadikan DIRI-nya yang terbaik. Kesimpulannya, DIRI itu lebih di dahulukan selain dari sumbangan DIRI itu kepada orang yang lain. Jadi, adakah kita mahu hidup sebegini sepanjang hayat kita atau menjadi yang berbeza? Mari kita fikirkan sejenak sambil meminum kopi panas di restoran “starbucks” cafĂ© penjual kopi yang terbaik sambil membuka Macbook dari syarikat pengeluar teknologi no.1 di dunia.